KUCHING, 7 Julai: Sebanyak 384 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan polis menerusi Op Samseng Jalanan di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata menerusi operasi pada 12.30 tengah malam, 365 motosikal diperiksa di sekitar Jalan Tun Abdul Rahman.
“Antara kesalahan dilakukan seperti ubah suai struktur dan ekzos 69 keping (saman), tidak ada cermin sisi 52 keping, nombor plat tidak mengikut peraturan 59 keping, tidak memiliki lesen memandu 34 keping, cukai jalan tamat tempoh 36 keping,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Operasi yang melibatkan enam pegawai dan 36 anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching itu turut menyita 53 motosikal di bawah Seksyen 60 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1978 atas pelbagai kesalahan ubah suai.
Enam remaja tempatan berumur dalam lingkungan 15 sehingga 18 tahun ditangkap kerana melakukan aksi yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.
“Bermula Januari sehingga Jun 2024, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah, IPD Kuching telah menjalankan lapan kali Op Samseng Jalanan dan lima tangkapan,” katanya.



