KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Syarikat swasta digalak terlibat sama dalam pembangunan ekonomi perak (silver economy) memandangkan potensi pasarannya di negara ini adalah sebanyak USD25.5 bilion.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata peluang dalam bidang ekonomi itu adalah luas kerana sedang mengalami pertumbuhan besar di rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, ini merupakan antara inisiatif mendepani cabaran penuaan populasi ke arah meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti masyarakat secara keseluruhan.
“Peratus potensi pasaran dunia yang boleh diteroka daripada trend penuaan populasi adalah sebanyak USD4.56 trilion pada 2025 manakala potensi pasaran di Malaysia adalah sebanyak USD25.5 bilion.
“Pelbagai industri di Malaysia berpotensi untuk mendapat manfaat daripada rantaian nilai silver economy dengan mengambil kira permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan dan penjagaan jangka panjang sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya.
Beliau berucap pada Seterra Dialogue 2024: Persidangan Kebangsaan Penjaga di ibu negara, hari ini.
Menurutnya, industri baharu yang memiliki potensi tinggi merangkumi pelancongan penjagaan kesihatan dan penjagaan jangka panjang.
Selain itu, sektor bekalan peralatan perubatan serta teknologi perubatan yang menggunakan kecerdasan buatan dan robotik.
Hanifah berkata, pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan bagi mengukuhkan tahap kesediaan negara menghadapi penuaan populasi.
“Tindakan ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk sektor awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakt sivil serta masyarakat umum,” katanya. -TVS



