IPOH, 28 JULAI – Seorang lelaki dipercayai ‘bapa ayam’ warga tempatan dan 16 warga asing, ditahan dalam beberapa serbuan Jabatan Imigresen Negeri Perak menerusi Op Patuh, di pusat bandar raya, hari ini.
Pengarah Imigresen Perak Hapdzan Husaini berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan bersama-sama warga asing, yang dipercayai tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, dalam operasi bermula pukul 8 pagi semalam dan berakhir kira-kira 2 pagi tadi.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan di 12 lokasi antaranya premis kediaman, hotel, kedai runcit serta pemeriksaan di jalan raya, yang dilakukan berdasarkan maklumat orang awam dan risikan.
Menurutnya seramai 65 warga asing telah diperiksa sepanjang operasi itu, dengan 16 warga asing terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, dua lelaki warga Bangladesh, dua wanita warga Thailand, empat wanita warga Vietnam, dua wanita warga Laos dan seorang wanita warga China, kesemuanya berusia 25 hingga 40 tahun telah ditahan.
“Serbuan ke atas sebuah hotel di Jalan Raja Ekram di sini dilakukan apabila disyaki mempunyai unsur aktiviti pelacuran. Pegawai operasi terpaksa bertindak memecahkan beberapa buah pintu bilik hotel, kerana terdapat wanita warga asing yang tidak memberi kerjasama.
“Turut ditemukan di setiap bilik hotel ialah kondom dipercayai digunakan semasa melakukan aktiviti pelacuran. Bayaran yang dikenakan terhadap pelanggan untuk perkhidmatan seks antara RM250 hingga RM300 untuk tempoh 45 minit,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kesemua warga asing itu disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
— BERNAMA