KUCHING, 5 Mei: Kerajaan Sarawak komited memperkukuhkan dasar, alat keselamatan dan budaya kesedaran digital demi memastikan pertahanan siber yang kukuh di era transformasi digital.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, jenayah siber kini menjadi satu ancaman global yang semakin membimbangkan.
Menurutnya, jenayah siber di peringkat global membawa kerugian kewangan seluruh dunia mencecah US$ 8.5 trilion pada tahun 2023 dan dijangka meningkat kepada US$12.43 trilion menjelang 2027.
“Malaysia turut tidak terkecuali daripada impak ini, apabila dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM1.6 bilion pada tahun 2024 akibat jenayah siber.
“Kita bimbang ia mungkin terus meningkat pada masa akan datang,” katanya ketika menghadiri Forum Inovasi Sektor Awam Sarawak di sini, hari ini.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah ke hadapan dengan menubuhkan Unit Keselamatan Siber bagi meningkatkan keupayaan pertahanan siber.
“Usaha yang dilakukan termasuk Penilaian Kesedaran Keselamatan yang mencatat 92 peratus kadar lulus daripada hampir 28,000 peserta dan penganjuran Hari Keselamatan Siber untuk perkongsian amalan terbaik,:” ujarnya.
Justeru, Julaihi menyeru pihak berkenaan serta organisasi melabur dalam strategi keselamatan siber yang mantap, memperluaskan kesedaran awam dan memperkukuh kerjasama untuk menghadapi ancaman itu.-TVS



