KUCHING, 6 Jun: Sarawak sedang mengkaji proses pyrolysis untuk menukar biojisim kepada hidrogen, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, kaedah itu dipercayai mampu menghasilkan sumber hidrogen yang mampan.
Tambah beliau, proses berkenaan juga akan menghasilkan ‘solid carbon’ yang boleh diperbaharui seperti graphite dan graphene.
“Ini bermaksud kita ada potensi untuk menghasilkan graphite sintetik iaitu komponen kritikal untuk bateri, elektrod dan bahan canggih,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Sarawak Electrolyser Assembly and Distribution Facility (SEA-DF) di Demak Laut Industrial Park di sini hari ini.
Fasiliti SEA-DF itu bertujuan untuk menghasilkan elektroliser bagi produksi hidrogen melalui proses elektrolisis.
Jelasnya lagi, bahan graphite tersebut boleh dijadikan sebagai komponen dalam elektroliser pada masa depan untuk mengurangkan kadar tenaga yang diperlukan bagi penghasilan hidrogen.
“Jika mampu menghasilkan graphite ini, kita juga boleh menghasilkan hidrogen dengan lebih murah,” tambah beliau.
Tambah Abang Johari, Sarawak perlu terus bergerak pantas dengan usaha penerokaan itu berikutan memiliki potensi besar kepada pulangan ekonomi.
“(Pada masa hadapan kita jangka) semua kenderaan (dijangka) akan menggunakan hidrogen dan kita akan menjadi pengeluar hidrogen terbesar di wilayah ini,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari berkata fasiliti SEA-DF itu kini sedang melatih lapan anak Sarawak untuk menjadi jurutera mengendali fasiliti tersebut.
“Kita juga boleh hantar lapan orang ini ke syarikat antarabangsa yang relevan untuk belajar lebih mendalam mengenai hidrogen dan mempertingkatkan pengetahuan kita mengenai ekonomi baharu,” katanya.
Abang Johari juga menggesa penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian fasiliti itu dalam produksi elektroliser.
“Kita boleh guna AI untuk menganalisa dan mengenal pasti ‘DNA’ dalam pemisahan molekul hidrogen dan oksigen.
“Ini boleh dibuat kerana kita miliki teknologi baharu untuk melangkah ke hadapan,” katanya. – TVS



