Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Inisiatif Restorasi Landskap Hutan (FLR) Sarawak telah meningkat ke tahap lebih tinggi sejak usaha-usaha pelaksanaannya dipercepatkan selepas pelancarannya kira-kira lima tahun lepas. Foto Envato

FDS usaha percepatkan Inisiatif Pemulihan Langskap Hutan di Sarawak

ByBernama

KUCHING, 6 Jun: Inisiatif Restorasi Landskap Hutan (FLR) Sarawak telah meningkat ke tahap lebih tinggi sejak usaha-usaha pelaksanaannya dipercepatkan selepas pelancarannya kira-kira lima tahun lepas.

Majlis pelancaran rasmi yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Agroforestry Sabal (kini dikenali sebagai Pusat Restorasi Landskap Hutan Sabal) di daerah Simunjan pada 15 Jun 2019 itu menandakan permulaan era baharu FLR di Sarawak.

Jabatan Hutan Sarawak (JHS) sebagai penggerak utama program itu berkata permulaan pendekatan baharu dalam FLR itu muncul sebagai kesinambungan usaha sekitar satu abad aktiviti penghutanan semula oleh jabatan nerkenaan.

“Faktor-faktor pendorong untuk memulakan pemulihan di Sarawak telah pun dilaksanakan dengan baik.

“Sebenarnya prinsip-prinsip, teknik dan komponen dalam pendekatannya telah wujud seawal tahun 1920-an melalui aktiviti penghutanan semula oleh JHS, serta pewartaan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dan Estet Hutan Kekal (PFE),” katanya dalam kenyataan.

Pelancaran Program FLR menandakan sokongan berterusan Kerajaan Sarawak terhadap aktiviti pemulihan yang telah dijalankan oleh JHS, kerana program itu menjadi salah satu agenda utama negeri untuk memastikan hutannya kekal bertenaga dan ekosistemnya yang kompleks dapat menjalankan fungsi semula jadinya.

Sejak dilancarkan, program itu telah berkembang dengan ketara dari semasa ke semasa dan ini juga bertujuan memastikan Sarawak mengekalkan 62 peratus daripada litupan hutannya, kekal sebagai yang terbesar di negara ini dan sentiasa dilindungi oleh pokok-pokok hijau.

Program ini juga bertujuan memperkayakan kawasan yang dibalak dengan spesies kayu yang bernilai tinggi, di samping memulihkan dan memulihara hutan yang terdegradasi, terutamanya di Estet Hutan Kekal (PFE).

Program FLR ini juga akan memberi manfaat kepada komuniti yang bergantung kepada hutan dengan meningkatkan taraf hidup mereka, di samping mengurangkan tekanan ke atas hutan semula jadi dengan mengalihkan pengeluaran kayu ke arah ladang spesies yang berkembang pesat.

“Pelaksanaan FLR di Sarawak juga selaras dengan kempen ‘100 juta Penanaman Pokok’ peringkat kebangsaan yang diterajui oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Justeru JHS telah menjenamakan semula Program FLR kepada ‘Kempen Menghijaukan Sarawak’ untuk merangkumi skop yang lebih luas,” kata JHS.

JHS yang berada di barisan hadapan dalam pelaksanaan FLR di Sarawak, menyasarkan untuk memperkayakan kawasan hutan terdegradasi dengan spesies kayu bernilai tinggi melalui fokus utama aktiviti pemulihan aktif di kawasan terdegradasi dalam Ladang Hutan Kekal dan Tanah Negeri.

Pelan tindakannya turut meliputi kawasan-kawasan seperti Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA), Projek Hidro Elektrik (HEP) dan tadahan pengambilan air, zon penampan, kawasan bekas perlombongan/kuari, serta taman dan kawasan hijau, manakala kempennya pula menggalakkan penanaman semua jenis pokok, sama ada spesies asli, spesies komersial, buah-buahan atau pokok-pokok landskap.

Sehubungan itu JHS terus memperhebatkan lagi matlamat mereka dengan menanam 35 juta pokok menjelang 2025, yang sejajar dengan wawasan Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang 2030 dengan penekanan terhadap kelestarian alam sekitar seperti yang ditetapkan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. .

JHS turut mengambil beberapa inisiatif dinamik, termasuk penubuhan Pasukan Petugas FLR yang terdiri daripada beberapa kumpulan kerja dengan peranan khusus tetapi berbeza; menghidupkan semula dan menubuhkan tapak semaian hutan di seluruh Sarawak; dan penubuhan Kawasan Pengeluaran Benih (SPA).

Jabatan itu juga menguatkuasakan semua pemegang lesen kayu melaksanakan program pemulihan dalam semua kawasan berlesen hanya menggunakan pokok asli melalui pengeluaran dua Pekeliling iaitu Pekeliling DF 02/2019 dan Pekeliling DF 03/2019.

Selain itu JHS turut memperkukuh program kesedaran awamnya, mempergiatkan penyelidikan dan pembangunan, di samping meningkatkan kerjasama antara jabatan dan pihak berkepentingan.

Jabatan itu telah memainkan peranan penting untuk merealisasikan strategi jangka panjang Sarawak Ladang Hutan Industri Agresif, serta mempromosikan perhutanan sosial dan penglibatan dengan masyarakat tempatan, di samping memanfaatkan teknologi termaju dalam FLR.

Ia juga sedang meninjau carbon offsets dalam usaha meneroka Pembayaran untuk Perkhidmatan Ekosistem (PES) sebagai cara untuk menangani pembiayaan jangka panjang bagi projek pemulihan, selain daripada perolehan dana dari kerajaan, korporat atau organisasi antarabangsa.

Pewujudan Pusat Kecemerlangan untuk FLR juga sedang dalam perancangan, dengan Hutan Simpan Sabal dan Hutan Simpan Bakam diperuntukkan sebagai kawasan model FLR yang akan menggabungkan infrastruktur yang dinaik taraf, selain Pelan Pengurusan Kebakaran.

Dalam melangkah ke hadapan, prestasi dan sistem pangkalan data yang berkesan akan disepadukan dan dipertingkatkan secara sistematik untuk menyumbang kepada pelaksanaan dan pelaporan yang lebih berkesan mengenai FLR di seluruh negeri.

Program FLR Sarawak telah berkembang dengan ketara dari semasa ke semasa sejak dilancarkan setengah dekad lepas dan kejayaannya mencapai satu lagi kemuncaknya pada 24 Mei tahun ini, apabila Sarawak mendahului ‘100 juta Kempen Penanaman Pokok’ dengan 34,252,806 pokok ditanam.

Jumlahnya mungkin akan bertambah lebih tinggi lagi memandangkan JHS menyasarkan untuk menanam 35 juta pokok menjelang 8 Jun.

Kerajaan Sarawak telah menunjukkan komitmen mereka untuk memulihkan hutan serta landskap negeri, dan ini penting bukan sahaja untuk mengembalikan semula pemulihan dan fungsi ekosistem ini bagi keperluan rakyat, tetapi juga untuk mengurangkan kesan negatif hutan susulan penerokaan untuk pembangunan dan menangani krisis iklim global.

Atas kesedaran ini JHS akan terus menonjolkan komitmen dan semangat mengekalkan kehijauan terusi meliputi negeri, dengan harapan usaha ini akan menjadi sesuatu yang bermanfaat untuk alam semula jadi, kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan