KUCHING: Sejumlah 5,478 pekerja dari sektor pembuatan dan perkilangan di Sarawak dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 mereka pada Rabu.
Jumlah ini melibatkan kawasan Kuching, Miri, Sibu dan dilaksanakan di Pusat Pemberian Vaksin Industri di daerah masing-masing.
Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, sebanyak 236 syarikat telah mendaftar dan menyertai Program Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) bagi sektor pembuatan dan perkilangan setakat ini.
“MINTRED telah bekerjasama dengan persatuan perniagaan untuk menarik sebanyak mungkin syarikat yang menyertai program ini. Beberapa persatuan perniagaan secara aktif menyokong program PPVIN ini dan ia melibatkan 236 syarikat dengan 43,050 pekerja di seluruh negeri” jelasnya pada sidang media selepas meninjau PPVIN di pusat membeli belah The Spring, pada Rabu.
Syarikat berkenaan terdiri daripada ahli-ahli Persatuan perniagaan seluruh negeri antaranya Persatuan Elektronik dan Industri Sokongan Sarawak (SECA), Persatuan Palabur Industri Samalaju (SIIA) , Persatuan Pengilang Sarawak (SMA), Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA), Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FFM) dan Persatuan Industri Maritim Sarawak (SAMIN).
Selain sektor pembuatan dan perkilangan, (PPVIN) juga dibuka untuk sektor perladangan, perkhidmatan, pembinaan serta sektor minyak dan gas.



