LIMBANG, 7 Mac: Majlis Menghafaz dan Tilawah Al-Quran (MTAQ) merupakan platform bagi pengantara dalam mendidik umat tentang kebesaran Allah SWT selain memperkenalkan Limbang sebagai satu destinasi tumpuan pelancongan serta aktiviti berupa keagamaan.
Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi menyatakan Al-Quran merupakan panduan bagi umat Islam yang inti pati utamanya merupakan kalam Allah untuk mendidik umatNya agar sentiasa mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan akhirat.
“Program sebegini dapat memperkenalkan Limbang kepada masyarakat luar selain menggunakan platform ini sebagai landasan perkongsian ilmu berunsur keagamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada Majlis Menghafaz dan Tilawah Al-Quran Peringkat Sarawak kali ke-63 di Limbang.
Tambah Yunus, program ini akan turut menarik minat golongan muda untuk mendalami serta memahami pengertian yang ingin disampaikan menerusi Al-Quran itu sendiri.
Seramai lebih 1,000 pengunjung menghadiri program yang diadakan di Dewan Suarah Limbang. -TVS