KUCHING, 3 Mac: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi hari ini menyempurnakan acara pelepasan di Larian Pandu Puteri 2024 di pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Beliau bersama isteri menyempurnakan dua pelepasan iaitu larian lima kilometer pada 6.46 pagi dan disusuli tiga kilometer.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan isteri, Datuk Dayang Morliah Awang Daud.
Objektif larian adalah untuk mengumpul dana bagi membiayai aktiviti-aktiviti Persatuan Pandu Puteri Sarawak seperti latihan, perkhemahan, membeli pelbagai peralatan untuk kegunaan ahli-ahli dan pengurusan pejabat serta membaik pulih bangunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak.
Larian tersebut disertai 1,000 ahli Pandu Puteri dan masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama serta dari berbagai peringkat umur.
Para peserta juga berpeluang memenangi 72 hadiah bernilai RM25,000.



