KUCHING, 2 Feb: Tahun Baru Cina yang bakal disambut tidak lama lagi akan lebih meriah dengan penganjuran sambutannya peringkat negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 10 Februari ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata penganjuran peringkat negeri buat julung kali itu membuktikan kerajaan negeri sentiasa bersikap adil terhadap semua agama dan kaum.
“Sambutan ini amat bermakna kerana kerana ia mencerminkan kepelbagaian etnik kita di Sarawak dan pada masa yang sama meningkatkan semangat rumah terbuka dengan mengunjungi satu sama lain semasa perayaan.
“Selain itu, tahun ini juga menandakan Tahun Naga masyarakat Cina yang melambangkan kekuatan, kuasa, kebijaksanaan, nasib baik dan kejayaan,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan sambutan berkenaan di sini, hari ini.
Menurutnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sering menekankan betapa pentingnya keadilan dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Bagi memeriahkan sambutan ini, beliau menyeru orang ramai agar berkunjung ke rumah terbuka berkenaan bermula dari 9 pagi hingga 3 petang.
Jawatankuasa penganjur yang dipengerusikan Dr Sim mensasarkan sekurang-kurangnya 5,000 tetamu akan hadir pada sambutan ini.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuankun Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Abang Johari serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang dijadual hadir pada sambutan berkenaan.
Pelbagai acara akan diadakan termasuklah Upacara Yee Sang oleh tetamu kehormat, persembahan kebudayaan, tarian tradisional dan persembahan nyanyian oleh Band Agura dari Majlis Seni Sarawak.
Dr Sim berkata lagi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga akan mengadakan sambutan Tahun Baru Cina SUPP di Sibu
“Itulah sebabnya tahun ini rumah terbuka Tahun Baru Cina SUPP Sarawak dipindahkan ke tarikh lain dan tahun ini diadakan di Sibu,” katanya.
