Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Eyshan Rizqi, 15, pelajar SMK Dato Permaisuri, Miri, ketika ditemu ramah wartawan TVS hari ini. Foto Alex Teo

Arwah nenek dorong Eyshan sertai program realiti TV ‘Kenyalang Badminton Talent’

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 10 Jan: Bermain badminton sejak kecil bersama arwah nenek menjadi pendorong Eyshan Rizqi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Permaisuri, Miri, menyertai program realiti TV ‘Kenyalang Badminton Talent’.

Menurutnya, kenangan manis bermain badminton bersama nenek menjadi inspirasi mahu mengasah bakatnya dalam sukan berkenaan.

“Saya mula bermain badminton sejak berusia 11 tahun bersama arwah nenek. Arwah nenek meninggal tahun lepas pada bulan November.

“Arwah dulu menghantar saya ke latihan badminton, membelikan raket, sepasang kasut serta memberikan semangat untuk terus bermain badminton,” katanya ketika ditemui TVS pada uji bakat ‘Kenyalang Badminton Talent’ di Kompleks Belia dan Sukan di sini, hari ini.

Uji bakat program realiti TV sukan ‘Kenyalang Badminton Talent’ bertujuan mencari bakat baharu pemain badminton remaja lelaki dan perempuan berusia 15 hingga 18 tahun di Sarawak.

Lebih menarik, bekas pemain badminton negara, Misbun Syawal Datuk Misbun, sebagai ketua jurulatih dan Hardiyandi Hamdin dari Sarawak, bekas pemain badminton Sarawak, merupakan juri program realiti tersebut.

Tambah Eyshan, arwah neneknya merupakan peminat tegar sukan badminton apabila bermain bersama ayahnya dan adik-beradiknya.

“Sekarang ini, ahli keluarga saya menghantar saya dari Miri ke Kuching untuk menyertai uji bakat ini,” ujarnya lagi.

Dedah Eyshan, dia mengetahui berita sesi uji bakat tersebut menerusi kelab badminton sekolahnya.

Dalam pada itu, legenda badminton negara Datuk Seri Jalani Sidek berkata, tujuan utama realiti program ‘Kenyalang Badminton Talent’ adalah untuk menggilap bakat anak tempatan Sarawak dan seterusnya dapat menjadi wakil ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya melihat pembangunan pemain badminton dari Sarawak agak ketinggalan, terutamanya apabila pergi ke Semenanjung Malaysia adalah satu cabaran.

“Sebenarnya terdapat bakat yang ada di sini. Oleh itu, kita akan bergerak ke hadapan dengan melihat lebih ramai pemain badminton terutamanya dari kalangan pemain muda Sarawak untuk dihantar ke luar negara apabila mereka sudah bersedia.

“Inilah matlamat utama mengapa kita mahu memajukan badminton di Sarawak,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, ketua kem program realiti tersebut Yapp Su Chiew berkata, terdapat ramai pemain badminton berbakat terutamanya di kawasan perkampungan.

Dedahnya, salah satu cara untuk menggalakkan jaguh kampung ini pergi jauh dalam sukan itu adalah melalui program realiti ‘Kenyalang Badminton Talent’.

“Mereka perlu memajukan bakat mereka, pergi ke bandar untuk mencari rakan latihan dan menyertai kejohanan.

“Namun, sayangnya di Sabah dan Sarawak, bakat yang kami temui tidak bersedia untuk berpindah ke bandar untuk memajukan bakat mereka.

“Inilah yang membuatkan kami berasa sedih kerana bakat-bakat ini lenyap begitu sahaja,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, beliau yang merupakan jurulatih berpengalaman dari Persatuan Badminton Malaysia (PBM) boleh membantu peringkat negeri melalui geran yang diperuntukkan untuk mengasah bakat-bakat pemain muda sebelum ke peringkat wilayah mahupun antarabangsa.

Untuk rekod, program realiti sukan badminton itu merupakan yang pertama di Malaysia dan di TVS.

Menurut penerbitnya, Mohd Najib Jaafar, peserta terpilih akan mengikuti latihan badminton secara profesional tajaan sepenuhnya Monaj Excel Sdn Bhd dengan kerjasama Kelab Badminton Nusa Mahsuri.

“Contohnya seperti Rahman Sidek, bekas pemain badminton negara, Misbun Syawal Datuk Misbun sebagai ketua jurulatih dan juga kita ada Hardiyandi Hamdin dari Sarawak sendiri, bekas pemain badminton Sarawak dan kita ada Yapp Su Chiew sebagai ketua kem,” jelasnya.

Katanya, program tersebut bakal disiarkan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu agar mampu ditonton bukan sahaja warga Sarawak, malah negeri-negeri lain di Malaysia.

Ia dijangka akan disiarkan pada pertengahan Jun 2024 dan akan bersiaran sebanyak 13 episod. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan