JAKARTA, 6 Jan: Indonesia mengecam dan menolak kenyataan menteri-menteri Israel yang menggesa pemindahan penduduk Gaza dan pembinaan penempatan Yahudi di Gaza.
Perkara itu ditegaskan Kementerian Luar Negeri Indonesia (Kemlu) dalam satu kenyataan susulan kenyataan Menteri Warisan Budaya Israel, Amichai Eliyahu baru-baru ini yang mengulangi idea untuk mengusir warga Palestin dari Semenanjung Gaza.
Menurut menterinya, Retno Marsudi, kenyataan yang dikeluarkan itu sangat provokatif dan beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa menghentikan agenda ini.
“Usaha Israel ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak menghormati hak rakyat Palestin, justeru masyarakat antarabangsa perlu menghalang agenda ini daripada menjadi kenyataan,” katanya.
Sebelum ini, terdapat juga dua menteri Israel iaitu Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich yang turut menyuarakan idea yang sama.
Pada masa sama, beberapa negara seperti Arab Saudi turut mengecam kenyataan menteri Israel yang menggesa agar peneroka Yahudi dipulangkan ke Gaza dan pemindahan penduduk Gaza sambil menegaskan tindakan perlu diambil terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh Israel.
Sementara itu, pencerobohan Israel ke atas Semenanjung Gaza masih belum berakhir manakala operasi ketenteraannya telah membunuh 22,600 rakyat Palestin dan mencederakan 57,910 yang lain setakat semalam. -TVS