KUCHING, 1 Jan: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan kajian persempadanan bahagian pilihan raya di Sarawak.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata urusan kajian semula persempadanan di Sarawak dilaksanakan pada 2015.
“SPR di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dari semasa ke semasa, sebagaimana difikirkan perlu, bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan Negeri-Negeri berlandaskan kepada prinsip dan tatacara yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas, Bahagian I dan II, Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Setakat ini, Sarawak mempunyai 31 kawasan Parlimen dan 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, SPR tidak merancang untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Negeri Sabah berikutan lat tempoh yang masih berkuatkuasa.
Urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu telah selesai dijalankan pada 2018, manakala Sabah selesai pada 2017.
Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu, atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri oleh SPR serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan, prinsip-prinsip berhubung dengan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya adalah seperti berikut:-
- Kewajaran memudahkan diadakan bagi semua pemilih diberi peluang keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian-bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan
- Mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihanraya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian
- Bilangan pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah Negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan kesukaran lain yang dihadapi bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan; dan
- Perhatian kepada pemeliharaan hubungan tempatan.
“SPR akan terus bersedia melaksanakan tanggungjawab yang diberikan demi kepentingan rakyat dan negara ini,” katanya.



