Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pesawat tersebut mengalami masalah teknikal dan 315 penumpang menunggu selama 27 jam.

Penumpang kongsi pengalaman terkandas lebih 27 jam di Lapangan Terbang Incheon

ByBernama

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Terkandas lebih 27 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan selepas seminggu bercuti di negara itu, Nuruljannah Musatapa adalah antara 315 penumpang yang berdepan kelewatan pulang ke Malaysia akibat masalah teknikal pesawat AirAsia, Ahad lepas.

Menurutnya, penerbangan yang dijadualkan berlepas pada 6.55 pagi Sabtu tergendala hampir dua jam menyebabkan penumpang diminta keluar daripada pesawat dan menunggu di pintu pelepasan.

“Kami kemudiannya dimaklumkan yang mereka sediakan hotel berdekatan lapangan terbang dan akan kemas kini semula jadual penerbangan baharu.

“Dalam 9.30 malam kami diminta balik semula ke lapangan terbang untuk daftar masuk sekali lagi dan naik penerbangan yang sama sekitar 1.30 pagi,” katanya yang bercuti bersama suami Ahmad Zuriyad Ahmad Zukiman dan anak lelaki berusia tujuh bulan, Faliq Harith Ahmad Zuriyad.

Tidak berakhir di situ, Nuruljannah berkata kesemua penumpang sekali lagi terkandas dalam pesawat yang tidak bergerak hampir lapan jam dan hanya dimaklumkan oleh kru penerbangan yang ia disebabkan masalah teknikal selain landasan yang diselaputi salji tebal.

“Masa ini ada yang dah keluar dari pesawat sebab dah tak tahan tunggu lama, tapi kami diberitahu kalau nak keluar tak boleh naik pesawat sama dan kena beli tiket baharu. Jadi kami tunggu sampailah pesawat boleh berlepas,” kata suri rumah berusia 26 tahun itu.

Beliau bagaimanapun berkata penumpang diberikan makanan dan minuman percuma oleh pihak AirAsia dan dibenarkan untuk membuat tuntutan insurans atas faktor kelewatan.

Seorang lagi penumpang, Nurul Nadia Abd Azizi, 34, dari Tanah Merah, Kelantan yang menghabiskan cuti hujung tahun bersama keluarga turut berkongsi pengalaman sama.

“Memang rasa penat, anak pula bila dah terlalu lama dalam pesawat mula tak selesa. Sepanjang lapan jam tergendala tu tak ada buat apa-apa, baring, tidur, makan sementara tunggu pesawat terbang semula.

“Walaupun ada masalah tetapi kami dapat layanan yang baik daripada pihak AirAsia, Alhamdulillah semua ok dan kami selamat sampai ke tanah air pada 4 petang Ahad,” katanya yang bekerja sebagai guru. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan