SEOUL, 27 Dis: Pelakon Korea Selatan, Lee Sun-kyun yang terkenal menerusi filem Parasite ditemukan meninggal dunia, lapor agensi berita Yonhap.
Polis mengesahkan pelakon itu meninggal dunia di dalam kenderaan di sebuah taman di tengah Seoul.
Sebelum ini, pelakon berusia 48 tahun itu yang filemnya memenangi Oscar berada di bawah siasatan polis berhubung penyalahgunaan dadah.
Sun- kyun yang merupakan graduan Universiti Seni Kebangsaan Korea membuat penampilan sulungnya dalam industri hiburan negara itu pada 2001 menerusi sitkom Lovers.
Karya terakhirnya yang merupakan filem seram Sleep ditayangkan tahun ini diterima dengan baik malah ditayangkan di Festival Cannes.
Pada akhir Oktober lepas, mendiang sempat ditemu ramah pemberita sebelum memasuki Balai Polis Incheon.
“Saya memohon maaf kerana telah menyebabkan banyak pihak kecewa kerana terlibat dalam kejadian yang tidak menyenangkan itu,” katanya ketika itu.
Korea Selatan mempunyai undang-undang yang sangat ketat berkaitan salah guna dadah malah rakyatnya yang mengambil ganja secara sah di luar negara berisiko didakwa apabila pulang ke negara mereka.
Tahun ini, Presiden Yoon Suk Yeol menggesa langkah yang lebih ketat untuk menghapuskan pengedar dadah.
Sun- kyun meninggalkan seorang isteri yang juga pelakon, Jeon Hye-jin dan dua anak lelaki. -TVS