SEGAMAT, 25 Dis: Seorang lelaki maut disengat tebuan tanah ketika melakukan aktiviti permotoran berhampiran Felda Tenang, Hutan Simpan Jalan Temayong, Labis, dekat Segamat, petang semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, PBK II Hairisyah Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.24 petang semalam dan seramai tujuh anggota berserta sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS telah digerakkan ke lokasi.
Beliau berkata, setibanya di lokasi, terdapat seorang lelaki yang dikenali sebagai Halmi Tahrin, 42, telah disengat tebuan tanah.
“Mangsa kemudiannya disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dari Klinik Kesihatan Labis.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian dan menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan yang selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. – TVS