SARATOK, 16 Dis: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyampaikan dividen berjumlah RM161,690 kepada 153 peserta Projek Agropolitan Ulu Awik di Saratok.
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, projek tersebut berada di bawah kementeriannya yang sudah bermula sejak tahun 2011 lagi di tanah berstatus Hak Adat Bumiputera (NCR).
Jelasnya, jumlah keluasan tanah projek sebanyak 337.9 hektar dan dibahagikan kepada empat blok dan setakat ini hanya 288.52 hektar yang telah mengeluarkan hasil.
Oleh itu, hanya pekebun daripada blok A dan B bakal menerima dividen penuh manakala dua blok lainnya akan menerima sebahagian termasuk bayaran permulaan.
“Hari ini kita sampaikan untuk tempoh empat tahun dari 2019 sehingga 2023 yang mana nilai dividen yang akan kita agihkan hari ini adalah RM161,690 kepada 153 orang peserta.
“Peserta blok A dan B akan menerima dividen sepenuhnya tetapi yang blok C dan D dividennya tidak penuh sebab kawasannya belum dituai sepenuhnya tetapi tetap mendapat bayaran permulaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pekebun Kecil Makmur (PKM) dan Penyampaian Dividen Agropolitan Ulu Awik di Saratok pada Jumaat.
Tambahnya, PKM yang dilaksanakan bersempena pengagihan dividen dapat menjadi platform bagi masyarakat bersama agensi kerajaan berkongsi pendapat dan luahan.
Ujarnya, penduduk di Ulu Awik dapat bersama-sama menimba ilmu dan pengetahuan yang diperlukan khususnya bagi projek-projek yang dilaksanakan oleh RISDA di kawasan mereka.
“Majlis hari ini merupakan satu platform baik untuk kita sama-sama menimba ilmu, meningkatkan pegetahuan, dapat memberi maklumat khususnya untuk warga kebun yang mana terdapat sesi khas bersama pekebun pekebun kecil,” jelasnya.
Sementara itu, bagi Pengarah Bahagian Program Khas RISDA, Nor Azwa Salim dividen yang diagihkan diharap sedikit sebanyak dapat membantu para pekebun kecil dalam menambah pendapatan selain ia dapat digunakan untuk keperluan harian mereka.
“Seramai 153 orang peserta bakal menerima dividen daripada projek ini, diharapkan dengan pemberian ini ia akan membantu sedikit sebanyak peserta dalam menguruskan kehidupan seharian,” ujarnya. -TVS