KUALA LUMPUR, 14 Dis: Orang ramai disarankan memakai pelitup muka manakala individu bergejala diharap mengelakkan 3S iaitu berada di kawasan sesak, sempit dan bersembang atau bertutur dengan jarak dekat berikutan peningkatan kes COVID-19 kebelakangan ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dalam masa sama, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis akan terus membuat pemantauan dan akan mengeluarkan kenyataan, cadangan dan arahan berkaitan, bergantung kepada situasi semasa.
“Berdasarkan kes, terdapat peningkatan dalam tempoh seminggu ini kepada 12,000 kes. Jadi kita cadangkan agar rakyat amalkan pemakaian pelitup muka kerana musim percutian memang akan ada banyak pergerakan.
“Mereka yang bergejala lindungi diri kerana dengan berbuat demikian dapat lindungi orang lain dan sekiranya bergejala elakkan berada di kawasan 3S,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata KKM turut menyarankan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin COVID-19 terutama bagi golongan rentan, warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi.
“Kita galakkan kumpulan ini yang berisiko tinggi untuk ambil dos penggalak ketiga. Individu yang positif dan bergejala pula hendaklah menjalani kuarantin kendiri selama lima hari,” katanya.
Semalam, kes COVID-19 dalam negara dilaporkan meningkat kepada 12,757 kes pada Minggu Epidemiologi ke-49 iaitu dari 3 hingga 9 Dis lepas, berbanding 6,796 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.
Kadar kemasukan pesakit COVID-19 termasuk pesakit yang disyaki COVID-19 ke fasiliti kesihatan meningkat 1.4 peratus berbanding minggu sebelumnya serta pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) juga meningkat 1.4 peratus. – TVS