KUCHING, 9 Dis: Pelbagai usaha dan program perlu dilaksana bagi meningkatkan kadar kesuburan negara yang telah berada pada tahap paling rendah pernah direkodkan sejak lima dekad lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kadar kesuburan keseluruhan (TFR) 1.6 anak bagi setiap perempuan berusia 15 hingga 49 tahun pada tahun lalu juga menurun berbanding kadar TFR 1.7 pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, keadaan itu disumbangkan oleh beberapa faktor antaranya kadar perkahwinan yang kurang, peningkatan kerjaya selain tahap kesuburan antara wanita dan lelaki yang semakin berkurang.
“Ketika ini, ramai juga dikalangan masyarakat terutamanya wanita memilih untuk tidak berkahwin disebabkan mereka lebih kepada memikirkan untuk meningkatkan kerjaya mereka serta niat untuk membantu keadaan atau taraf sosioekonomi keluarga mereka.
“Banyak juga golongan ini khususnya mereka yang mempunyai pendidikan tinggi merasakan adalah lebih baik untuk mereka tidak berkahwin selain sifat takut dan trauma dengan kadar penceraian yang agak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Akad Semarak Ummah 2023 di Masjid Darul Hana di sini hari ini.
Nancy berkata, Malaysia kini sedang menuju kepada negara tua dengan lebih 15 peratus daripada warganya adalah pada paras unmur 60 tahun dan ke atas.
Katanya, Malaysia bersama beberapa negara membangun seperti Amerika Syarikat (1.7), Australia (1.7), United Kingdom (1.6), Jepun (1.3) dan Korea Selatan (0.8 ), menunjukkan trend kadar kesuburan menurun di bawah paras penggantian.
Trend sama juga turut dapat diperhatikan di negara Asean seperti Vietnam (1.9), Brunei (1.8), Thailand (1.3) dan Singapura (1.1).
“Sejak 1970 hingga 2012, TFR negara direkodkan di atas paras penggantian iaitu 2.1 anak, yang menunjukkan purata bilangan anak dilahirkan seorang perempuan sepanjang tempoh kesuburannya mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangannya
“Bagaimanapun trend itu mula menurun dibawah paras pengantian bermula 2013 hingga kini yang sekaligus berpotensi mengakibatkan krisis demografi seperti penyusutan pertumbuhan dan penuaan penduduk sekaligus memberikan kesan terhadap ekonomi dan sosial,” katanya. -TVS