KUCHING, 19 Nov: Sejak menyertai Ekspo Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) Zon Tengah, Haironi Benjamin mengaku dia tidak menang tangan menerima tempahan baju kemeja lelaki yang diperbuat daripada batik linut.
Usahawan dari Kampung Tellian Tengah, Mukah itu berkata, ‘lonjakan’ tempahan terus diterima termasuk pada hari ini yang merupakan hari terakhir ekspo berkenaan apabila merekodkan jualan mencecah RM18,000.
Selain itu katanya, dia turut menerima banyak tempahan untuk kain, shawl dan tali leher.
“Sepanjang ekspo ini bermula, produk batik linut mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung.
“Produk batik linut yang paling laris ialah kemeja lelaki, kain meter dan shawl,” katanya kepada TVS.
NTFP anjuran Jabatan Hutan Sarawak berlangsung di Plaza Merdeka bermula 11 November lepas berakhir hari ini.
Haironi berkata, jualan tinggi yang direkodkan itu telah melayakkan dia menerima Anugerah Jualan Tertinggi sempena Ekspo NTFP.
Sementara itu Haironi berkata, dia juga telah mempelbagaikan produk tekstilnya.
“Selain baju batik linut, saya turut memberi fokus kepada baju kemeja lelaki, tali leher dan scarf yang dijadikan cenderahati korporat,” katanya. -TVS