BUKIT MERTAJAM, 12 Nov: Remaja lelaki berusia 16 tahun yang ditahan polis selepas terbabit kemalangan sehingga menyebabkan kematian pembonceng dan penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang semalam dibebaskan dengan jaminan polis.
Remaja berkenaan dilepaskan malam tadi selepas dia dibenarkan direman selama sehari oleh Mahkamah Majistret di sini.
Pasangan tunang maut kemalangan, pemandu remaja 16 tahun ditahan
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San berkata, siasatan mendapati remaja yang masih bersekolah itu memandu tanpa lesen.
“Semasa kejadian, dia memandu kereta milik ibunya dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Mertajam selepas bertemu dengan rakan (di bahagian pulau).
“Polis turut mengeluarkan saman ke atas ibunya kerana cuai dengan membenarkan remaja itu menggunakan kenderaannya tanpa lesen,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Cheng San berkata, polis sedang melengkapkan siasatan berhubung kes itu termasuklah telah menghantar sampel darah ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk ujian alkohol dan dadah.
Terdahulu, media melaporkan dua individu yang didakwa pasangan tunang berusia 20-an terkorban selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang arah Perai.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, kereta dipandu remaja berkenaan dikatakan melanggar belakang sebuah lori sebelum keretanya hilang kawalan dan merempuh motosikal. – TVS