PERAI, 11 Nov: Penunggang dan pembonceng berusia 20-an yang menunggang sebuah motosikal terkorban selepas terbabit kemalangan di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang arah Perai dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang merupakan pasangan yang baharu bertunang maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San berkata, kejadian dikatakan berpunca apabila sebuah kereta dipandu remaja lelaki berusia 16 tahun dari arah pulau menuju Perai telah melanggar belakang sebuah lori.
“Kejadian itu menyebabkan kereta hilang kawalan dan melanggar motosikal ditunggang seorang lelaki bersama pembonceng wanita.
“Mereka yang menaiki motosikal maut, manakala pemandu kereta cedera ringan dan pemandu lori tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Seberang Jaya dekat sini bagi urusan bedah siasat.
“Remaja lelaki itu turut direman selama sehari hari ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Sufi Abd Razak di talian 013-477 4542 atau 04-538 2222. – TVS



