KUCHING, 9 Nov: Pustaka Negeri Sarawak mahu berperanan dalam membekalkan maklumat kepada masyarakat sepanjang masa dan memulihara warisan dokumen agar dapat menjadi rujukan dan kegunaan generasi akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli berkata melalui fungsi ini, Pustaka dapat memastikan masyarakat mengoptimumkan potensi masing-masing apabila mereka menggunakan sumber maklumat untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan.
“Kita menyedari bahawa persaingan pada masa kini lebih bergantung dengan penguasaan ilmu dan maklumat. Penggunaan data dapat menambah nilai kualiti kehidupan, malah menambah nilai produk dan perkhidmatan,” katanya ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program AKRAB di sini hari ini.
Pada masa sama beliau turut menekankan peningkatan tahap ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat adalah amat penting.
Hanya melalui pembangunan sumber manusia yang memberi kepentingan kepada ilmu pengetahuan, Sarawak akan dapat bersaing dengan negara maju.
“Jika kita boleh mengubah kefahaman dan kesediaan orang Sarawak untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka supaya mereka boleh mempertingkatkan kualiti dan nilai produk dan perkhidmatan.
“Ilmu pengetahuan dapat mempertingkatkan pendapatan kita dan akan berjaya bantu hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi,” ujarnya. – TVS