KUCHING, 9 Nov: Sejumlah lebih 600 dokumen dan rekod lama yang dimiliki penduduk-penduduk Kampung Seberang Hilir disimpan dalam bentuk digital oleh Pustaka Negeri Sarawak menerusi program ‘Archiving Today’s Knowledge and Records for Tomorrow Accessibility and Browsing’ (AKRAB).
Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli berkata program yang julung kali diadakan itu bermatlamat untuk menyimpan rekod dan pengetahuan masa kini bagi kegunaan dan manfaat generasi akan datang.
“Saya melihat daripada maklum balas peserta dan juga rakan kerjasama kita, menunjukkan program AKRAB yang pertama ini telah berjaya mencapai objektifnya dan dianjurkan dengan cara yang sangat sistematik.
“Jadi kita telah berjaya mengumpul banyak maklumat dan rekod dalam bentuk gambar, surat lama, manuskrip dan sebagainya,” katanya ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program AKRAB di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya belum lagi menentukan lokasi bagi penganjuran edisi seterusnya kerana perlu meneliti beberapa aspek penting.
Ujarnya, pemilihan Kampung Seberang Hilir sebagai lokasi pertama ini adalah susulan perpindahan penduduk yang sedang dijalankan.
“Berdasarkan program kali pertama ini, kita akan membuat penilaian untuk menilai apakah kelemahan dan kelebihan yang kita berjaya lalui semasa program pertama ini dan dari situ akan membantu kita untuk membuat keputusan di mana (lokasi) seterusnya,” ujarnya.
Japri berkata untuk mengakses kampung-kampung di seluruh negeri ini merupakan satu perkara yang agak mustahil untuk dicapai, namun dengan bantuan pihak-pihak berkaitan, ia diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan warisan budaya tempatan dan semula jadi.
“Kampung di Sarawak terlalu banyak, ada lebih 5,000 kampung. Kita mempunyai kapasiti dan juga keupayaan yang terhad dan kita tahu kita tidak dapat untuk melibatkan semua kampung dan semua masyarakat dan golongan komuniti.
“Tetapi kita harap dengan bantuan media sama ada media arus perdana atau media sosial, maka kesedaran masyarakat terhadap kepentingan warisan budaya tempatan dan warisan semula jadi ini akan meningkat. Melalui peningkatan kesedaran ini, mereka dengan sendirinya diharapkan akan menjaga rekod dan dokumen keluarga, masyarakat dan kampung masing-masing supaya ia tidak mudah rosak dan tidak hilang,” katanya.
Penganjuran edisi sulung program AKRAB ini telah berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 9 November yang melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Pulo Ulu, Kampung Panglima Seman Lama dan Kampung Semarang. – TVS