LUBOK ANTU: Orang ramai dinasihatkan dan diingatkan untuk menepati janji temu vaksinasi yang telah ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera.
Keperluan untuk menepati masa yang telah ditetapkan adalah untuk mengelakkan diri dari tercicir dan terlepas peluang untuk divaksinasi, kata Penyelia Jururawat Kesihatan, Margaret Minong.
“Janji temu yang diberikan tidak boleh dipindah milik dan sebolehnya mesti menepati jadual janji temu yang diberikan,” tambahnya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu.
Mengulas mengenai pemberian vaksin di PPV di Lubok Antu, sasarannya adalah seramai 500 orang penerima yang dipilih dari rumah-rumah panjang yang berdekatan untuk menerima vaksin jenis Sinovac dos pertama.
“Melihat kepada sambutan yang memberangsangkan berdasarkan kehadiran orang ramai di PPV, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penerangan Daerah Lubok Antu khususnya yang turun padang selama ini untuk membuat hebahan tentang program vaksinasi bagi memberi kesedaran kepada masyarakat setempat tentang vaksin yang memberi banyak manfaat selain mengurangkan risiko kebolehjangkitan,” kata Margaret.
Seorang penerima, Liam Juna, 49, dari Rumah Engkelai, Rakut menyatakan rasa lega setelah menerima vaksin bagi melindungi diri dan keluarga.
Anaknya, Mira Liam, 23, yang turut divaksinasi juga mengucapkan terima kasih kepada urusetia di PPV kerana terpilih untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Saya amat gembira kerana telah divaksin dan berharap lebih ramai lagi golongan muda yang akan menerima suntikan bagi mewujudkan imuniti kelompok,” kata Mira.
Salimah Ganga, 48, yang juga berasal dari Rumah Engkelai, Rakut turut menyuarakan perasaan selamatnya setelah divaksin dimana kini perasaan bimbangnya seolah sedikit berkurangan jika perlu keluar rumah untuk mendapatkan keperluan harian.