Padawan, 23 Jun – Seorang wanita antara tiga individu ditahan untuk membantu siasatan polis dalam satu kes ragut di sini.
Difahamkan, wanita terbabit telah membeli rantai emas hasil ragut daripada dua orang saspek lelaki tersebut yang memberi alasan meragut sebagai cara untuk “menampung hidup”.
Dalam kejadian 10.45 pagi semalam, mangsa yang dikatakan sedang berada di perkarangan rumah telah didatangi dua orang lelaki yang menunggang motosikal lalu meragut rantai emas mangsa.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong, suspek telah ditahan sepasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan kurang lapan jam selepas kejadian dalam satu serbuan di sebuah rumah di taman perumahan, Jalan Matang pada jam 5:50 petang hari yang sama.
“Semakan mendapati suspek berusia 24 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 392 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pihak polis turut menahan seorang wanita berusia 33 tahun yang merupakan rakan suspek selain merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan ketika meragut, anak kunci motosikal dan satu unit helmet berwarna hitam bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua individu ini akan dijalankan ujian saringan awal air kencing,” kata Lim.
Seorang lagi rakan suspek yang dipercayai terlibat ketika kejadian masih giat diburu pihak polis.
Lim menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat suspek untuk menghubungi pihak polis.