KUCHING, 26 Okt: Peninju kebanggaan Sarawak, Kilat Boy dinobatkan sebagai juara Asia kategori Bantamweight menerusi perlawanan di Kejohanan Persekutuan Tinju Asia (ABF) di Bangkok, hari ini.
Persatuan Tinju Negeri Sarawak berkata Kilat Boy atau nama sebenarnya Daeloniel Mcdelon menumbangkan lawannya Artid Bamrungauea dari Thailand dengan Technical Knock Out (TKO) pada pusingan ketiga.
“Terima kasih atas doa-doa kalian semua,” tulis persatuan berkenaan menerusi Facebook Persatuan Tinju Negeri Sarawak susulan kemenangan Kilat Boy.
Sebelum bertolak ke Bangkok pada Selasa lepas, Kilat Boy, 24, kelahiran Sri Aman berkata beliau akan menggunakan taktikal yang ditetapkan jurulatihnya untuk menumbangkan lawannya.
“Saya akan melakukan yang terbaik kerana saya telah membuat persiapan secukupnya selama dua bulan ini bagi membawa pulang kejayaaan kepada Sarawak,” katanya. – TVS