Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Naib Presiden Kanan PBB Dato Sri Sr Stephen Rundi Utom berkata tumpuan GPS adalah mendekati pendudk di rumah panjang. Foto: Mohammed Raffiq (TVS)

Jentera GPS perhebat kempen di rumah panjang, kampung di Jepak – Stephen Rundi

BINTULU, 25 Okt: Kempen di rumah panjang dan kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak akan diperhebatkan oleh jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan.

Naib Presiden Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, langkah berkenaan selaras dengan saranan oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg supaya mendekati pengundi di situ.

“Pada masa sama, Abang Johari juga mahu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS untuk memberi sumbangan membabitkan kekuatan jentera masing – masing sepanjang kempen berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Perjumpaan Bersama Tuai Rumah Panjang di sini hari ini.

Pembangunan infrastruktur asas di setiap kawasan jadi keutamaan

Turut hadir, Naib Presiden Kanan Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri John Sikie Tayai, ADUN Krian, Friday Belik dan calon GPS PRK DUN Jepak, Iskandar Turkee.

Sementara itu, Stephen Rundi yang juga Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, walaupun Jepak dianggap sebagai kubu kuat GPS, namun jentera tidak boleh bersikap mengambil mudah.

“Oleh itu, saya mahu kesemua parti komponen GPS supaya bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan kita (malah) meraih majoriti undi yang lebih tinggi berbanding pilihan raya negeri lepas,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak, bekas ADUN Jepak, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip mempertahankan kerusi berkenaan bagi penggal keenam berturut – turut dengan majoriti 4,243 undi.

Pada PRK ini, Iskandar akan ditentang oleh dua calon iaitu Stevenson Joseph Sumbang yang ditampilkan oleh Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Chieng Lea Phing. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan