KUCHING, 24 Okt: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diberi penghormatan untuk menyampaikan taklimat mengenai ekonomi wilayah ini kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri sempena Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri di Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Abang Johari antara lain berkongsi kejayaan Sarawak sejak 60 tahun lalu serta turut menekankan perlaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 membabitkan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
PM Anwar amanahkan Premier Sarawak ‘kuliahkan’ Kabinet Menteri
“Premier Sarawak turut berkongsi mengenai dasar pandang ke hadapan seperti yang digariskan di bawah PCDS 2030 dalam usaha Sarawak muncul sebagai wilayah maju dan pendapatan tinggi selain turut melaksanakan pembangunan tenaga boleh diperbaharui,” jelas kenyataan media oleh Pejabat Premier Sarawak di Putrajaya hari ini.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sebelum ini ketika Mesyuarat Kabinet Kerajaan Perpaduan berlangsung di Kuching, Abang Johari turut diminta memberi taklimat kepada Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan mengenai pembangunan ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui dilaksanakan Sarawak yang mendahului negeri lain. -TVS