KUALA LUMPUR, 10 0kt: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang mengkaji keperluan meningkatkan kapasiti program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), di Politeknik dan Kolej Komuniti.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata kajian akan mengambil kira kesediaan ruang, tenaga pengajar serta kelangsungan hidup mereka (golongan OKU), selepas tamat pengajian.
Jelasnya, tanggungjawab untuk menyediakan pendidikan bagi pelajar OKU yang telah tamat pengajian di peringkat sekolah menengah melibatkan beberapa kementerian dan agensi.
“Dalam skop Kementerian Pendidikan Tinggi , KPT melalui Politeknik dan Kolej Komuniti menawarkan sebanyak 13 program yang dikhususkan bagi kumpulan OKU di peringkat sijil.
“Pihak Kementerian Pendidikan Tinggi kini sebenarnya turut kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk meneliti keperluan meningkatkan kapasiti program TVET bagi OKU di Politeknik dan Kolej Komuniti,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat), yang ingin tahu adakah KPT berhasrat untuk membina lebih banyak pusat pendidikan TVET khusus untuk pelajar OKU, selepas tamat pengajian sekolah menengah.
Lima program yang ditawarkan di Politeknik melibatkan golongan kurang upaya pendengaran dan pertuturan manakala lapan program ditawarkan di Kolej Komuniti melibatkan golongan yang mempunyai masalah pembelajaran dan juga golongan kurang upaya pendengaran dan pertuturan,
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bilangan pelajar OKU yang sedang mengikuti pengajian di Politeknik adalah seramai 96 orang dan Kolej Komuniti seramai 264 orang.
Sementara itu, Mohamad Yusof juga turut menjawab soalan Ahli Aprlimen Indera Mahkota Dato Sri Saifuddin Abdullah mengenai sama ada Kementerian berhasrat untuk meneliti dan mengkaji semula syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi golongan Orang Kurang Upaya termasuk jurusan undangundang dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menjamin akses pendidikan tanpa sebarang diskriminasi seperti yang termaktub dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008.
“Di peringkat kemasukan pelajar ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) khususnya kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), KPT telah menawarkan dua laluan kemasukan penerimaan.
“Pertama, kemasukan ke program terbuka (Arus Perdana) di Universiti dan Politeknik melalui laluan khas kepada OKU. Kedua, kemasukan ke program-program yang dikhususkan hanya kepada OKU di peringkat Politeknik dan Kolej Komuniti,” katanya.
Katanya, alam proses kemasukan pelajar melalui laluan khas untuk melanjutkan pengajian ini, pemohon OKU hanya akan bersaing dalam kelompok mereka sendiri dan hanya perlu melepasi syarat am dan syarat khas (minimum) IPTA/ ILKA serta lulus temu duga dan/atau ujian bagi program pengajian yang menetapkan keperluan berkenaan. -TVS