LIMBANG, 27 Sept: Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah mahu golongan muda hari ini menghidupkan kembali budaya zikir marhaban yang merupakan kebudayaan masyarakat Islam.
Hasbi yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, dengan mengaktifkan kembali budaya zikir marhaban, ia dapat mengelakkan amalan itu daripada pupus dan dilupakan khususnya generasi muda susulan perubahan zaman dan teknologi tanpa sempadan.
Pada masa sama katanya, amalan zikir marhaban ini juga perlu diperluaskan kerana ia merupakan salah satu cara dan medan untuk masyarakat Islam itu berdakwah.
“Zikir marhaban ini menjadi satu medan dakwah dan generasi muda juga perlu menghidupkan kembali budaya ini. Perkara yang paling penting adalah kita tahu apa yang dizikirkan, tujuan berzikir dan sebagainya.
“Ini adalah satu dakwah dan kita hendaklah hayati isi kandungan zikir-zikir marhaban kita ini kerana ia bukan setakat untuk bertanding,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran kepada Kumpulan Marhaban Persatuan Melayu Limbang (PML) di Dewan Kampung Bunga Raya, Limbang malam tadi.
Hasib turut menzahirkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada kumpulan marhaban PML yang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Zikir Marhaban Peringkat Sarawak anjuran Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS).
Selaku juara, mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000 serta piala pusingan dan piala iringan.
Hadiah-hadiah kemenangan disampaikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kuching baru-baru ini.
Seramai 15 pasukan daripada seluruh Sarawak menyertai pertandingan tersebut yang diadakan buat julung-julung kalinya.-TVS