SAN PEDRO GARZA GARCIA (Mexico), 27 Sept: Seekor beruang hitam yang kelaparan telah mengganggu perkelahan sebuah keluarga di utara Mexico pada Isnin.
Beruang tersebut memakan sejumlah besar enchilada dan taco yang dibekal.
Kejadian itu berlaku di lokasi Taman Ekologi Chipinque, yang terletak di negeri utara Nuevo Leon. Kawasan itu adalah sebahagian daripada habitat semula jadi beruang hitam.
Dalam satu perkongsian video, seorang wanita dilihat menutup muka kanak-kanak sementara beruang hitam itu menjamu selera dan setelah selesai makan, beruang tersebut dengan tenang turun dari meja berkelah untuk cuba mencari lebih banyak makanan di atas tanah.
Seorang ahli keluarga yang terlibat dalam pertemuan rapat itu berkata, ini adalah kali pertama mereka mengalami pengalaman sebegitu dengan beruang hitam dan mengesyorkan supaya tidak membawa makanan ke dalam taman.
Beruang hitam adalah spesies yang disenaraikan sebagai terancam oleh pihak berkuasa Mexico.
Di Mexico, terdapat zon yang didaftarkan sebagai kawasan semula jadi dengan keluasan permukaan 177,395 hektar, yang dilindungi dan diiktiraf sebagai habitat semula jadi Ursus americanus. – TVS