KOTA SAMARAHAN, 9 Sept: Projek fasa kedua pemasangan lampu di sepanjang jalan protokol negeri dan persekutuan di Entingan ke Sebuyau sudah mencapai 90 peratus, kata Datuk Rubiah Wang.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, projek berkenaan secara keseluruhan melibatkan tiga fasa dengan fasa pertama dan kedua menelan kos sebanyak RM23 juta.
Kata beliau, usaha berkenaan penting berikutan keadaan di kawasan itu yang agak gelap dan menyukarkan pengguna pada waktu malam.
“Secara keseluruhan projek ini melibatkan pemasangan hampir 3,500 lampu jalan manakala bagi fasa ketiga pula, ia akan menelan kos sebanyak RM7 juta dengan pemasangan kira – kira 3,000 lampu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan projek Rakan Kebun Sahabat Komuniti Desa (SKoD) di Kampung Seniawan di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Pengarah KEMAS Sarawak, Khairuddin Md Nasir.
Sebelum ini Rubiah berkata, projek pemasangan lampu jalan juga akan dilaksanakan bermula di Stakan hingga ke Muara Tuang.
Selain itu, projek ini juga turut melibatkan Asajaya, Simunjan, Gedong serta Sadong Jaya. -TVS


