BUTTERWORTH, 6 Sept: Seorang pengawal keselamatan berdepan hukuman mati selepasĀ dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia setahun pada Ogos lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berstatus duda itu didakwa menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia 15 bulan di sebuah unit di Pangsapuri Ampang Jajar di sini.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 6.25 petang pada 23 Ogos hingga 4.50 petang pada 26 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmaā āAmira Shahidani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes akan disebut semula pada 6 Mac depan bagi serahan laporan kimia dan bedah siasat.
Pada masa sama mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sementara menunggu tarikh berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan, polis menahan sembilan suspek termasuk ibu muda berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kematian bayi lelaki yang dipercayai didera.
Mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya dekat sini pada 28 Ogos lalu dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh seorang lelaki berusia 30-an sebelum suspek beredar dan menghilangkan diri. – TVS