SARIKEI, 27 Ogos: Bidang pendidikan kekal menjadi teras utama dalam merealisasikan agenda pembangunan selaras dengan matlamat memastikan Sarawak maju dalam segenap aspek.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, bagi menjayakan hasrat berkenaan, seluruh ekosistem perlu bergabung tenaga menyokong usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Menurutnya, pendidikan sentiasa diutamakan kerana kerajaan sedar kepentingan bidang berkenaan sebagai pelaburan masa depan.
“Oleh itu, kita perlu menghargai jasa dan berterima kasih kepada Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan anak Sarawak tidak ketinggalan dalam arus pendidikan.
“Pelaburan besar yang dibuat oleh Kerajaan Sarawak dalam bidang pendidikan bukan satu kerugian sebaliknya menjadi asas penting dalam pembangunan selain memastikan golongan muda menikmati kehidupan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei, di Dewan Sentral, hari ini.
Len Talif menambah, pelajar hari ini bertuah kerana kerajaan melalui pelbagai agensinya menyediakan banyak bantuan untuk melanjutkan pelajaran.
Malah katanya, mereka yang kurang cemerlang juga mendapat peluang untuk membina masa depan dengan menceburkan diri dalam bidang teknikal yang selari dengan minat masing-masing.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei Lau Ngie Tung. – TVS