TANJUNG MANIS, 9 Sept: Rakyat perlu terus menaruh keyakinan terhadap kemampuan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kini giat berusaha membangunkan Sarawak bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab berkata, kerajaan bukan sahaja mempunyai strategi tersendiri tetapi juga perancangan rapi bagi memastikan impian itu menjadi kenyataan.

- Ir Yusuf bersama tetamu yang lain pada Pesta Makanan dan Kebudayaan Belawai, semalam. Foto: UKAS
Sehubungan itu katanya, rakyat harus berdiri teguh di belakang kerajaan supaya agenda mentranformasikan landskap pembangunan negeri dapat direalisasikan.
“Percayalah politik Sarawak ini stabil, aman dan makmur sekali gus memudahkan kerajaan melaksanakan lebih banyak agenda pembangunan.
“Daripada bercakaran sesama sendiri, lebih baik kita berganding bahu bersama kerajaan, bantu wakil rakyat bangunkan kawasan supaya manfaatnya dapat dinikmati bersama,” katanya ketika merasmikan Pesta Makanan dan Kebudayaan Belawai, malam tadi.
Yusuf berkata, seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama harus bersatu, mengelakkan diri daripada sebarang unsur negatif di samping berfikir secara lebih proaktif dan bersifat bergerak ke hadapan.
Pendekatan itu katanya, mampu membantu kerajaan membawa Sarawak ke satu era yang lebih baik untuk generasi akan datang.
“Sarawak cukup unik kerana mempunyai kepelbagaian suku kaum yang berbeza-beza. Malah dalam kepelbagaian itu, kita mampu mempertahankan perpaduan.
“Bagi saya, keunikan itu merupakan sesuatu yang amat bernilai dan mesti dipertahankan sampai bila-bila,” katanya.
Tambahnya, Tanjung Manis dan kawasan sekitarnya mempunyai masa depan cerah berikutan pelbagai pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan oleh kerajaan.
Pesta selama tiga hari anjuran Maju Efektif Sdn Bhd itu menyediakan sebanyak 141 gerai jualan kepada orang ramai.
Acara kelolaan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Kaunselor Ibnee Ekni itu juga sebahagian pendekatan untuk menyediakan peluang ekonomi kepada peniaga kecil. – TVS


