KUCHING, 21 Ogos: Sarawak Shell Berhad (SSB) telah menganugerahkan kontrak Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan kepada dua syarikat di Sarawak.
Masing-masingnya adalah Brooke Dockyard and Engineering Works Corporation (Brooke Dockyard) dan OceanMight Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat KKB Engineering Berhad menerima kontrak berkenaan.
Menurut kenyataan hari ini, SSB berkata kontrak tersebut merupakan simbol kejayaan dalam memacu pembangunan kontraktor tempatan dan peningkatan prestasi.
“Strategi ini juga sejajar dengan rancangan syarikat dalam beberapa tahun akan datang untuk membangunkan medan gas di luar Sarawak,” katanya.
Menurut Pengerusi Country Shell Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Siti Sulaiman, ia sebagai salah satu perintis dalam industri tenaga negara, Shell Malaysia secara proaktif mengejar pelaburan huluan yang kompetitif dan membangunkan potensi tempatan dalam mengemudi peralihan tenaga.
Skop kerja yang diberikan adalah kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) untuk platform kepala telaga ringan standard di Sarawak dan tertakluk kepada kelulusan Strategi Kontrak Keseluruhan (OCS) oleh Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM).
Ia termasuk aktiviti berterusan syarikatnya dalam semua Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) air cetek di Sarawak dengan permohonan pertama untuk medan F27, Selasih dan F22 di bawah MLNG PSC.
Tambahnya lagi, perjanjian harga yang dibuat membolehkan Sarawak Shell Berhad memendekkan kitaran hayat projek dengan membolehkan gas lebih pantas dalam aliran melalui kebolehulangan platform wellhead. -TVS