GERIK, 14 Ogos: Seorang wanita Orang Asli maut selepas dipercayai dipijak gajah di kawasan kebun durian berdekatan rumahnya di Kampung Bal, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, mangsa berusia 63 tahun itu dikatakan pergi mengutip durian sekitar pukul 4 hingga 5 petang.
Ujarnya, polis telah menerima laporan berhubung seorang wanita dipijak gajah kira-kira 5.30 petang dan mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan RPS Kemar.
“Siasatan mendapati mangsa pergi ke kebun untuk mengutip durian dan dipercayai terserempak dengan seekor gajah.
“Bedah siasat mayat mangsa dilakukan kira-kira 9 pagi tadi di Hospital Gerik dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada dada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian. – TVS