Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi barisan tertinggi kerajaan perpaduan berucap pada Sesi Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini. Foto: Bernama

Kerajaan Perpaduan hormati keputusan PRN, tekad berkhidmat lebih tekun – Anwar

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Kerajaan Perpaduan bertekad untuk bekerja keras dan lebih tekun berkhidmat untuk memenuhi keperluan rakyat, sebagaimana yang diterjemahkan menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pimpinannya akan terus kekal dan kukuh, seiring hasrat membangun Malaysia MADANI dan Dasar Ekonomi MADANI.

“Insya-Allah, hari Isnin kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa tetapi lebih tekun dan keras bekerja supaya Malaysia mencapai kejayaan yang membanggakan,” kata Anwar pada sidang media selepas pengumuman rasmi keputusan pilihan raya berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan tertinggi parti Kerajaan Perpaduan.

Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan menghormati keputusan PRN di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kemenangan di negeri itu.

Perdana Menteri berkata kejayaan Kerajaan Perpaduan mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang adalah hasil muafakat rakan-rakan parti termasuk dari Sabah dan Sarawak yang turut memberikan dukungan.

Anwar berkata keputusan pilihan raya yang dicatatkan itu adalah keputusan rakyat dalam sistem demokrasi negara yang harus dihormati dan diterima dengan baik.

“Kalau ada permasalahan dan protes, buatlah (kemukakan petisyen) mengikut alur, hukum dan peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Anwar turut mengingatkan semua parti sama ada yang menang atau kalah, untuk terus bersilaturahim dalam menjaga keamanan serta menumpukan perhatian mengangkat martabat negara dan membela nasib rakyat.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada petugas SPR yang telah menjalankan tugas dengan baik serta anggota pasukan keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia yang membantu memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar dan aman.

Keputusan PRN enam negeri itu menyaksikan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dimenangi PH dan BN, yang membentuk kerjasama sebagai Kerajaan Perpaduan, manakala Kelantan, Kedah dan Terengganu di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan