Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Setiap penenun diberi peluang dan kebebasan untuk berkarya dengan menampilkan idea rekaan dan motif mereka sendiri di atas kain songket. Foto: Mohd Raffiq (TVS)

Songket tenunan Puncak Borneo terbang ke Kota London

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 8 Ogos: Sebaik melangkah masuk ke bengkel di Penjara Puncak Borneo Kuching (PPBK), pandangan penulis terus ‘menangkap’ susuk seorang penghuni lelaki yang tekun menganing benang.

Menganing merupakan salah satu daripada beberapa proses yang sukar untuk hasilkan songket.

Proses ini berlaku selepas selesai kerja melerai benang.

Berbalik kepada pemuda tadi yang penulis anggarkan berusia lewat 20-an, kesungguhan jelas terpancar untuk menyiapkan ‘helaian emas’ berkenaan.  

Menurut Sarjan PPBK, Mass Ardipati Mass Ariffin, pemuda berkenaan merupakan salah seorang daripada lebih 50 penghuni di situ yang dilatih untuk menenun songket sejak 2019.

Penghuni PPBK ‘lawan’ kesukaran proses hasilkan songket

Mass Ardipati yang juga merupakan tenaga pengajar berkata, kelas tenunan di situ dibahagikan kepada dua sesi bagi memastikan penghuni dapat mempelajari ilmu dengan lebih fokus.

Katanya, setiap pelatih juga diberi kebebasan untuk berkarya dengan menampilkan idea rekaan dan motif sendiri di atas kain songket.

Salah seorang banduan menerangkan kepada wartawan TVS tentang rekaan kain songket yang diilhamkannya sendiri. Foto: Mohd Raffiq (TVS)

Kongsi Mas Ardipati, proses melatih penghuni untuk menguasai tenunan songket agak rumit kerana modul bermula dari asas pertama hingga 10.

“Selain itu, mereka akan berkenalan dengan terma baharu yang mungkin tidak pernah didengari sebelum ini seperti dukan atau menganik.

“Namun apabila sudah faham selepas dua minggu sertai kelas, prosesnya semakin mudah.

“Saya juga dibantu oleh penghuni atau banduan yang sudah mahir ketika mengajar mereka,” katanya kepada TVS baru- baru ini.

Tenunan songket penghuni PPBK menang pertandingan kebangsaan 

Meskipun berdepan pelbagai cabaran, para pelatih mampu mencapai kejayaan.

Menurut Inspektor Penjara Zul Fikri Mohamat, mereka berjaya menyiapkan 27 helai kain sampin untuk dipakai guru silat semasa Majlis Pembukaan Kejohanan Silat Antarabangsa Premier Sarawak 2023 pada Februari lalu.

Tambah Zul Fikri, hasil karya penguni di situ juga dibawa menyertai Pertandingan Anugerah Kreatif anjuran Jabatan Penjara Malaysia.

“Antara yang bertanding bagi kategori songket termasuklah Penjara Marang, Penjara Pengkalan Chepa dan Penjara Puncak Borneo.

“Alhamdulillah menerusi penyertaan kali pertama, Penjara Puncak Borneo bersama dengan komuniti luar iaitu dari Sri Gedong Songket meraih tempat kedua,” katanya.  

Songket Penjara Puncak Borneo terbang ke London, Raja Permaisuri Agong kagum

Penganjuran Minggu Kraf London 2023 pada 8 hingga 14 Mei lepas lalu turut memberi kenangan manis kepada PPBK.

Ini kerana songket yang dihasilkan di sebalik tirai besi ini dipamerkan di sana sekali gus membuktikan tiada yang mustahil sekiranya menghasilkan produk berkualiti.

 

Salah satu kain songket yang ditenun penghuni penjara. Foto: Mohd Raffiq (TVS)

Menerusi peranan dimainkan oleh Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak CENTEXS Commercial, koleksi songket dihasilkan oleh penghuni PPBK itu berjaya dipamerkan di sana.

Hasil seni mereka turut membanggakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Kata Abang Johari ketika menghadiri majlis berkenaan, kain songket yang ditenun itu telah mengharumkan nama Sarawak di mata dunia.

“Yang mengagumkan kita ialah para pembesar yang menghadiri pertabalan Raja Charles III juga berkesempatan ke Minggu Kraf London.

“Malaysia diwakili oleh Sarawak, Pahang dan Terengganu.

“Sarawak telah mempamerkan kain songket, keringkam, seni anyaman dan budaya kita yang lain pada acara itu.

“Raja Permaisuri Agong (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) berkenan memberi penjelasan mengenai seni budaya di Sarawak, (baginda bukan sahaja bercakap mengenai) Pahang, Tuanku bercakap mengenai Sarawak,” ujar Abang Johari.

Melihat kepada kejayaan tersebut, pihak penjara terus giat mencungkil serta menggilap potensi lebih ramai penghuninya dalam tenunan songket dan produk-produk kraf yang lain.

Pelbagai perancangan diatur bagi memastikan para penghuni penjara ini dapat terus mengharumkan nama Sarawak di peringkat tertinggi.

Jangan lupa ikuti siri ketiga laporan khas bertajuk ‘Tenunan songket di sebalik tirai besi’ yang menyingkap usaha penjara dalam memperkasa kemahiran dan mempertingkat penghasilan produk kraf. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan