KUCHING, 8 Ogos: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan kampus baharu Kolej Universiti i-CATS bakal dibangunkan berhampiran Kampung Trombol, Telaga Air di sini.
Menurut beliau kerajaan negeri telah mengenal pasti tapak pembinaan tersebut iaitu seluas 200 ekar dan kini dalam fasa pentadbiran untuk memperolehnya.
“Kita perlu menjalankan kaji selidik tanah terlebih dahulu serta reka bentuk bangunan, terutamanya untuk fakulti kejuruteraan, bagi menyediakan kursus-kursus inovatif baharu.
“Ini akan memberikan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk pelajar, lengkap dengan teknologi dan kemudahan pelajar terkini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-25 Sarawak Skills dan I-CATS Universiti Kolej di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Abang Johari menambah struktur bangunan akademik juga akan merangkumi penginapan pelajar, terbuka kepada pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa.
Selain itu, beliau menekankan bahawa i-CATS juga merancang untuk memperkenalkan kursus kejuruteraan baru yang memberi tumpuan kepada penyelenggaraan hidrogen dan kenderaan elektrik (EV).
“Universiti ini kini sedang mengkaji untuk merangka metodologi dan sukatan pelajaran yang tepat. Mungkin mereka perlu merujuk negara Jerman yang menawarkan kursus-kursus dalam bidang ini,” ujarnya.
Dalam usaha Sarawak ke arah tenaga boleh diperbaharui melibatkan sumber hidrogen dan elektrik, Abang Johari menegaskan kepentingnya untuk mengekalkan dalam standard tertinggi.
“Perkembangan landskap semasa menuntut individu mahir dan profesional yang terlatih dalam kompleksiti industri baharu yang bergantung kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti elektrik, tenaga solar, dan hidrogen,” jelasnya. – TVS



