TANJUNG MANIS, 8 Ogos: Songket Rajang dikenali dengan keunikannya yang berbeza daripada songket yang dihasilkan di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia kerana menggunakan teknik ‘sembunyi benang’ semasa proses penghasilannya.
Sehubungan itu, industri songket tenunan Kampung Rajang yang rata-ratanya dipelopori oleh mereka yang sudah berusia itu memerlukan penglibatan lebih ramai tenaga muda bagi memastikannya terus bertahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, songket tenunan Rajang mendapat permintaan yang tinggi kerana kualiti penghasilannya sekali gus berjaya memahat nama dalam industri tenunan di negara ini.
“Kampung Rajang ini terdapat sembilan orang yang sepenuh masa melakukan tenunan songket tetapi kalau kita lihat keseluruhan Kampung Rajang ini ada yang aktif termasuk yang tidak aktif lebih kurang dalam 20 orang.
“Kebanyakan yang terlibat dalam seni tenunan songket di Kampung Rajang ini sudah berumur 60 tahun ke atas. Oleh sebab itu, mereka memohon bantuan agar industri tenunan songket ini dapat diteruskan dan dapat menarik minat lebih ramai orang muda dalam industri ini,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan ke Pusat Tenunan Songket Kampung Rajang pada hari ini.
Katanya, kualiti, corak dan identiti yang tersendiri menjadikan songket Rajang buruan ramai walaupun harganya boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.
Dalam pada itu, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan agensi yang berkaitan untuk mencari jalan terbaik dalam usaha memastikan industri tenunan Rajang kekal relevan dan terus berkembang.
“Saya akan melihat pendekatan yang terbaik supaya industri tenunan Rajang ini dapat terus berkembang. Dalam masa yang sama, kita juga dapat meningkatkan sosioekonomi mereka.
“Industri ini perlu dipertahankan agar kita dapat sama-sama menikmati tenunan sudah lama bertapak di Kampung Rajang ini,” ujarnya lagi.-TVS