Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gambar fail menunjukkan PICK di Sarikei, Sarawak ketika kemuncak jangkitan COVID-19. Foto TVS.

Tidak perlu pemberian vaksin influenza berskala besar, kata pakar

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 8 Ogos: Pemberian vaksin influenza berskala besar seperti ketika kemuncak pandemik COVID-19 tidak diperlukan buat masa ini.

Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Helmy Hazmi berkata, ini kerana influenza atau demam selsema tidak mudah berjangkit berbanding COVID-19.

Jelas beliau, Program Imunasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini dilaksanakan kerana wabak itu merupakan penyakit baharu yang menyebabkan jangkitan teruk akibat ketiadaan imuniti.

“Berbekalkan pengalaman COVID-19, kita memerlukan tindakan bersasar seperti berpandukan data surveilans membabitkan tahap kebolehjangkitan yang disebabkan oleh influenza A atau B ini.

“Selain itu, polisi baharu yang ingin diperkenalkan juga memerlukan kajian mendalam membabitkan keberkesanan yang mana ia merupakan perkara mustahak untuk penggubal dasar,” katanya ketika dihubungi TVS.

Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Helmy Hazmi
Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Helmy Hazmi. Foto: Dr Helmy Hazmi

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasrat Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengkaji keperluan pemberian vaksin influenza kepada rakyat terutama golongan berisiko.

Sementara itu Dr Helmy berkata, golongan berisiko tinggi termasuk warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi serta tahap imuniti rendah amat digalakkan untuk mendapatkan vaksin influenza.

“Golongan warga emas mengalami ‘immunosenescence’ atau penuaan imuniti yang mengurangkan kebolehan badan untuk melawan jangkitan.

“Ini memudahkan mereka dijangkiti influenza yang boleh mencetuskan strok dan serangan jantung,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian terkini menunjukkan risiko serangan jantung adalah 10 kali ganda dalam tempoh tujuh hari selepas seseorang itu dijangkiti influenza.

Kata Dr Helmy lagi, dalam kalangan pesakit kencing manis pula, jangkitan influenza boleh menyebabkan kawalan gula yang tidak terkawal dan menyebabkan komplikasi sehingga melambatkan proses penyembuhan.

Sehubungan itu, beliau berpendapat pendekatan yang boleh diambil oleh Sarawak adalah melalui pemberian vaksin influenza kepada mereka yang berisiko tinggi terutamanya golongan warga emas dan yang kurang berkemampuan.

“Contohnya, pemberian vaksin tersebut boleh ditanggung dengan program sedia ada seperti Peka B40, iSarawakCare dan Skim Perubatan Madani,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan