Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Para peserta Program Jalinan Integrasi Mahasiswa menyertai aktiviti di Rumah Seribu, Nanga Tada, Kanowit. Foto: Madeline (TVS)

Pelajar dari Terengganu seronok ada ‘indai’ di rumah ‘panjai’

ByMadeline Dugat

KANOWIT, 7 Ogos: Seronok ada ‘indai’ (ibu angkat) di rumah ‘panjai’ (panjang). Itu ungkapan seorang peserta Program Jalinan Integrasi Mahasiswa 2023, Nur Zaty Iwanie yang berasal dari Terengganu.

Menurutnya, tinggal di rumah panjang bersama keluarga angkat merupakan pengalaman begitu berharga kepadanya kerana dapat mempelajari budaya, seni dan makanan tradisional masyarakat Iban.

“Pertama kali ada mak angkat duduk di rumah panjang dan juga pertama kali ke Sarawak, bagi saya sangat menyeronokkan dengan pengalaman duduk di rumah panjai bersama indai (mak angkat).

“Kita juga berpeluang mengajar anak-anak orang Iban di sini. Itu antara pengalaman paling seronok sepanjang program selama lima hari ini,” katanya kepada TVS.

Program Jalinan Intergrasi Mahasiswa 2023 yang diadakan di Nanga Tada, di sini mendapat sambutan yang positif dalam kalangan peserta.

Rata-rata peserta mengakui gembira dan menyifatkan program ini wadah terbaik untuk meningkatkan kefahaman pesereta mengenai adat budaya dan cara hidup masyarakat pelbagai kaum.

Seorang lagi peserta, Muhamad Affiq yang berasal dari Penampang, Sabah berkata beliau teruja dan gembira apabila berpeluang menimba pengalaman baharu selain memupuk semangat perpaduan.

“Ini pertama kali saya datang ke rumah panjang dan tinggal bersama keluarga angkat yang berbilang kaum dan bangsa seperti di rumah saya sendiri ada kaum Iban, Melanau dan saya sendiri kaum Kadazan.

“Ini satu pengalaman yang sangat menyeronokkan. Saya bersyukur dapat mengikuti program ini dengan rakan yang lain dan saya berharap program ini akan diteruskan lagi untuk masa akan datang,” katanya.

Seorang penuntut jurusan kejuruteraan pertanian, Velldery May berkata, perbezaan agama, budaya dan cara hidup bukan penghalang untuk lebih mendalami kehidupan masyarakat Iban khususnya di rumah panjang.

Katanya, hanya dengan melalui pengalaman, mereka akan lebih memahami agama dan budaya yang berbeza.

Malah, Velldery turut terharu kerana kini sudah dianggap seperti anak sendiri oleh keluarga angkatnya.

“Layanan keluarga angkat sangat baik, pertama kali datang saya sudah dianggap sebagai anak mereka sendiri. Saya rasa terharulah dengan mereka.

“Aktiviti pertama, kami buat kuih sarang semut, tarian ngajat dan membuat kraftangan daripada manik. Itulah yang dapat saya kongsikan,” katanya.

Peserta Choo Shuen Rou yang berasal dari Kuala Lumpur berharap program seperti ini akan diteruskan dan diperluaskan ke negeri lain sebagai usaha untuk mengukuhkan hubungan dan interaksi sosial antara generasi muda dengan komuniti setempat.

“Di sini banyak perkara yang saya belajar, dapat melihat sungai dan mengenali ramai kawan. Anda akan dapat merasai seperti pada persekitaran yang berbeza, zon berbeza yang mana anda akan berasa seperti anda sendiri,” katanya.

Seramai 65 pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu Sarawak dan Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang telah mengikuti Program Jalinan Intergrasi Mahasiswa 2023 di Rumah Seribu, Nanga Tada.

Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara Dan Intergrasi Nasional Negeri Sarawak ini dianjurkan selama lima hari bermula 3 hingga 7 Ogos. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan