SERIAN, 6 Ogos: Program Kenyalang Tourism Booster kali keempat yang dianjurkan Koperasi Belia Inovatif Sarawak Berhad (KOBIS) dan Dewan Usahawan Muda BIMP-EAGA (BYEC) bertempat di Kampung Pichin, di sini, mendapat sambutan menggalakkan golongan usahawan terutama usahawan belia.
Menurut Pengerusi Koperasi Belia Inovatif Sarawak Berhad, Zaiwin Kassim, program yang berlangsung selama tiga hari bermula pada Jumaat lalu menawarkan lebih 20 aktiviti dengan enam teras program utama
Katanya, semua program KTB turut melibatkan penduduk setempat dalam semua program yang dijalankan termasuk sukarelawan bagi memastikan pertukaran ilmu dapat disampaikan kepada penduduk.
“Program ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG Goals) 8, 11 dan 17. Walaupun nampak berat tetapi penduduk tempatan yang terlibat dapat memahami dan mempelajari kaedah menulis kertas cadangan, pengurusan projek dan pelaksanaan acara.
“Kerajaan Sarawak tidak hanya menumpukan aktiviti atau program seperti ini di bandar besar seperti di Kuching sahaja tetapi juga di kawasan luar bandar juga,” katanya dalam ucapan penutupan pada program tersebut tengah hari tadi.
Salah seorang usahawan yang mengambil bahagian dalam program KTB, Fernanda Eva Jenny, 27, dari Kampung Pichin mengakui penganjuran KTB memberikan peluang kepadanya untuk menjual dan memperkenalkan perkhidmatan menghias kuku yang disediakan kepada penduduk setempat.
“Penganjuran KTB memberi peluang kepada peniaga, orang luar yang baharu berminat untuk mengikuti pelbagai program seperti homestay, entrepreneurship.
“Ini adalah peluang kepada mereka untuk mengetahui platform untuk bermula (perniagaan) dan mereka (penganjur KTB) turut memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil untuk menjual (produk mereka),” katanya.
Antara program yang berlangsung sepanjang tiga hari di Kampung Pichin tersebut adalah Pertandingan Testimoni Terbaik Homestay Sarawak, Cabaran Sukan Semangat SUKMA Sarawak, Pertandingan Fesyen dan Hiburan, Jualan Lelong Serian dan Bazaar Serian. -TVS