BEKENU, 6 Ogos: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia akan membantu menampung perbelanjaan pengangkutan bagi mana-mana pesakit kanser dari Sarawak yang memerlukan rawatan di Kuala Lumpur
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Tuai Rumah perlu melaporkan kepada pihak KKM terlebih dahulu sekiranya terdapat penduduk di bawah tanggungjawab mereka memerlukan bantuan.
“Ini kerana ada rakyat pergi ke KL untuk mendapatkan rawatan terutama sekali anak-anak yang menghidap kanser. Kita tiada pusat rawatan khusus di Sarawak, maka kita bawa ke KL.
“Kalau ibu bapa ada anak sakit kanser, kita memberi jaminan supaya perbelanjaan penerbangan dan teksi mereka akan ditanggung melalui Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia,” katanya semasa Karnival Kesihatan Komuniti Sibuti di Dewan Masyarakat Bekenu, hari ini.
Tambahnya, baru-baru ini Premier telah meluluskan peruntukan RM1 billion untuk membangunkan Pusat Kanser Negara di Sarawak bagi menangani isu tersebut supaya pesakit kanser tidak perlu pergi ke KL untuk mendapatkan rawatan akan datang.
Lukanisman berkata, Skim Kesihatan Madani akan diperkenalkan di Sarawak menjelang tahun 2024 untuk membantu rakyat menjalankan saringan kesihatan di klinik dan ‘Kenyalang Gold Card’ juga boleh digunakan untuk tujuan sama.
“Kita akan memperkenalkan Skim Kesihatan Madani ke seluruh Sarawak menjelang 2024 dan kerajaan akan memperkenalkan satu kad kesihatan yang boleh dibawa ke klinik swasta yang mengandungi sejumlah wang.
“Di KL dan Kuching mempunyai RM250 untuk rakyat membuat saringan kesihatan. Jika sakit dan demam, boleh dibawa terus ke klinik swasta,” ujarnya.
Beliau menasihatkan kepada masyarakat tidak takut menjalani saringan kesihatan supaya dapat mengenal pasti penyakit dalam badan seterusnya dapat membendung dan mengawalnya secepat yang mungkin.
Program Karnival Kesihatan Komuniti merupakan program anjuran KKM yang telah dianjurkan di pelbagai kawasan selaras dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi memastikan masyarakat memahami kepentingan penjagaan kesihatan serta sedar tentang tanggungjawab membudayakan amalan hidup sihat. – TVS