BAU, 6 Julai: Kerajaan China bersedia menawarkan biasiswa penuh kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian tinggi di universiti negara republik itu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Henry Harry Jinep.
Tawaran itu katanya dimaklumkan semasa lawatan Konsul Jeneral China di Kuching, Xing Wei Ping ke Bau hari ini.
“Mereka boleh menguruskan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di universiti negara China dengan tanggungan penuh oleh kerajaan China.
“Ia merupakan tawaran yang baik, terutama di Bau, kerana pelajar Melayu, Bidayuh dan Iban yang bersekolah di sekolah aliran Cina memiliki peluang keemasan ini untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Wei Ping dalam lawatan ke Bau, hari ini.
Sokongan diberikan China itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan bijak oleh komuniti di Bau khususnya.
Menurutnya, tawaran itu setakat ini terbuka kepada pelajar di Bau yang permohonannya boleh dikemukakan kepada Pusat Khidmat ADUN Tasik Biru.
Permohonan akan diserahkan kepada pejabat Konsulat Negara Republik China di Kuching untuk tindakan lanjut. – TVS