KUCHING, 7 Julai: Polis menahan tiga lelaki berkaitan kes rampasan tujuh juta batang rokok dipercayai tanpa cukai kastam di Jalan Kuala Baram Bypass, Miri pada Rabu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata rokok yang dirampas berserta sebuah lori kargo dianggarkan bernilai RM7.83 juta.
Menerusi Op Kontraban, sepasukan pegawai dan anggota dari unit risikan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak menahan dan memeriksa sebuah lori pada 9.40 malam.
“Kesemua rampasan dan tangkapan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Miri untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Kes disiasat di bawah seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya. – TVS



