BETONG, 30 Jun: Meskipun berusia 80 tahun namun tidak pernah menjadi halangan buat Profesor Pak Nek yang merupakan seorang bekas ketua pakar bedah menyertai Konvoi Kembara Sarawak Merdeka yang menjelajah ke setiap bahagian di Sarawak.
Menyertai konvoi itu bermula di Bintulu, beliau mendedahkan minatnya menyertai program sedemikian membara sejak di usia muda serta dijadikannya sebagai hobi sehingga kini.
“Saya memang minat menyertai program (konvoi) sebegini sejak tahun 1976 lagi. Minat konvoi ini sejak zaman muda lagi.
:Malah, Pak Nek juga pernah menyertai konvoi sebegini selama tiga bulan ke empat bulan,” katanya ketika ditemui TVS hari ini.
Menurutnya berhubung kos perbelanjaannya, Pak Nek mendedahkan sepanjang perjalanan kesemua kos pembayaran ditanggung olehnya sendiri.
“Sepanjang pembelanjaan konvoi kembara ini ditanggung sepenuhnya oleh saya sendiri seperti hotel, minyak, dan makanan…atas dasar semangat kemerdekaan itu ada dalam diri saya,” tegasnya.
Beliau juga mengakui pengalaman menjelajah menerusi konvoi itu memberi peluang dirinya menjelajah ke bahagian pedalaman di negeri ini selain menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dałam diri rakyat Sarawak.
“Walaupun sudah berusia 80 tahun, saya tetap bersemangat ketika menyambut program sebegini kerana tidak selalu kita dapat merasainya.
“Konvoi seperti ini juga perlu diteruskan masa akan datang supaya setiap masyarakat terutamanya golongan muda tidak melupakan sejarah kemerdekaan kita di Sarawak,” ujarnya.
Pak Nek mengakui niatnya menyertai konvoi ini secara sukarela berbekalkan prinsip mahu menyemarakkan lagi kegemilangan Sarawak telah merdeka selama 60 tahun.
Justeru itu, warga emas itu berpendapat bahawa konvoi tersebut wajar diteruskan selepas sambutan Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka selepas ini memandangkan aktiviti menjelajah itu memupuk semangat kemerdekaan ke jiwa seluruh rakyat terutamanya kepada golongan muda.
Selepas konvoi ini berakhir, Pak Nek berkongsi kepada pemberita TVS bahawa beliau akan menyertai konvoi Oxford pada pertengahan bulan Julai nanti ke Bario dan Ba’Kelalan selama tujuh hari.
Untuk rekod, Pak Nek merupakan anak jati Mukah pernah berkhidmat sebagai doktor pakar bedah di Hospital Kuala Lumpur selama 30 tahun dan berpindah ke Sarawak selepas bersara. -TVS