PADA siang hari memakai kot makmal, sibuk menganalisis DNA manusia, sebelah malam pula menjadi chef menyediakan pelbagai jenis juadah untuk dikongsikan dengan netizen di pelbagai laman sosial.
Pada siang hari bergelumang dengan bahan-bahan kimia, sebelah malam pula bergelumang dengan bahan-bahan masakan..
Itulah Mohd Shafiq Zulkarnain, 28, atau lebih dikenali sebagai Shafiq Cute oleh warga alam maya yang sebenarnya merupakan seorang pegawai penganalisis DNA forensik Jabatan Kimia Malaysia yang tidak lokek dengan senyuman.
Video masakannya semakin meraih perhatian apabila mendapat ribuan kongsian dan “likes”,mungkin kerana kecomelan dan kecekapannya di dapur.
Bermula dengan membantu ibunya memasak di dapur seawal usia lapan tahun dengan membuat kari ayam, Shafiq kini semakin mendapat perhatian ramai apabila beratus-ratus resipi dikongsinya di alam maya daripada masakan tradisional, masakan barat sehinggalah ke aneka kek, kuih-muih dan biskut.
“Ibu saya dahulunya bekerja di kilang, jadi bahan-bahan akan disediakannya sebelum masuk kerja jadi tugas saya hanya memasak mengikut bahan-bahan yang telah disediakan,” kata anak kedua dari enam beradik ini.
Yang menariknya, sepanjang memasak, Syafiq hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa, berlatarbelakangkan pelbagai rentak muzik menarik dalam video suntingannya sendiri.
Resipi-resipi beliau akan dipampang di skrin video yang disuntingnya sendiri.
“Sebenarnya saya tak dapat apa-apa pun bayaran cuma berkongsi minat mendatangkan kepuasan dan kegembiraan,” kata jejaka comel kelahiran Alor Gajah, Melaka ini.
Syafiq yang dahulunya tidak dikenali kini semakin ramai pengikutnya dan telah menjadi seorang “instafamous” apabila ke mana sahaja beliau pergi, akan ada yang memanggilnya untuk bergambar atau “selfie” bersama.
Baru saja mempunyai laman Facebook page , Instagram dan Youtube sendiri sejak enam bulan lalu, Syafiq kini mempunya seramai 250 ribu followers.
“Bagi saya memasak perlukan perancangan rapi terutamanya bagi yang berkerjaya. Mesti rancang bahan-bahan dan juga penyediaan.
“Memasak juga tidak semestinya perlu rumit dan perlu menggunakan bahan-bahan yang sukar didapati daripada perlatan memasak sehinggalah bahan-bahan. Cukup seperti ibu-ibu kita dahulu, guna sahaja apa yang ada di dapur,” katanya.
Ini terbukti jika diteliti video masakannya, Shafiq hanya menggunakan peralatan dan bahan-bahan ringkas untuk memasak. Contohnya apabila beliau menekup pulut menggunakan gelas untuk membuat kuih seri muka dan menggantikan gelatin dengan aga-agar untuk pembuatan kek keju mangga.
“Kita harus kreatif sahaja, memasak bukan satu proses rumit,” tambahnya.
Ditanya apakah masakan paling sukar pernah dihasilkannya, Shafiq berkata sebenarnya perkataan sukar tiada dalam kamus masakan beliau kerana semuanya boleh dibuat jika ingin dicuba.
“Ada yang saya cari resipi di Internet, ada yang saya bertanya dengan kawan-kawan atau keluarga dan ada juga saya cipta sendiri,” tambahnya.
Juga berminat membuat pelbagai jenis kuih dan aneka jenis biskut, Shafiq baru-baru ini telah membuat sebanyak 25 jenis biskut raya, mengalahkan rekod 17 jenis biskut raya tahun lepas!